Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Pengerusi Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Ventures (BSJV) dan Brunei Gas Carriers (BGC) berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-226 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BGC Ke-112 bagi Suku Kedua Tahun 2025, pagi tadi.
Mesyuarat-mesyuarat tersebut menandakan genap satu tahun sejak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memegang jawatan sebagai Pengerusi Syarikat-syarikat BSJV dan BGC.
Sejurus keberangkatan tiba di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah-pengarah BLNG dan BGC.
Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah yang mana baginda telah mengiktiraf momentum operasi yang ditunjukkan oleh Syarikat-syarikat BSJV dan BGC serta menegaskan kepentingan untuk mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan kemajuan yang berterusan.
Baginda juga turut menggalakkan agar Syarikat-syarikat BSJV dan BGC untuk kekal berdaya tahan dalam menghadapi landskap tenaga global yang sedang berubah dan juga menekankan akan kepentingan perancangan yang berpandangan jauh bagi memastikan Syarikat-syarikat BSJV dan BGC kekal tangkas dan berjaya dalam jangka masa panjang.
Mesyuarat tersebut telah membincangkan aspek utama seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia bagi BLNG dan BGC.
Terdahulu, mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah DYMM; Shell Plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan dari BLNG dan BGC.
Kebawah DYMM seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-415 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-193 bagi Suku Kedua Tahun 2025 pada Rabu, 30 Julai 2025.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto